Mayat mangsa bot terbalik di Pulau Indah ditemukan

Bernama
Jun 26, 2024 00:13 MYT
Mayat seorang lelaki yang merupakan mangsa insiden bot terbalik pada Ahad lalu ditemukan di perairan Pulau Indah, Klang semalam. - BERNAMA
SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki yang merupakan mangsa insiden bot terbalik pada Ahad lalu ditemukan di perairan Pulau Indah, Klang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mayat Mohd Fazil Paijan, 36, ditemukan terapung pada kedudukan 2.4 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan karam di perairan Pantai Acheh, Pulau Indah.
Penemuan mayat mangsa yang berseluar panjang biru dan berbaju hitam itu susulan panggilan daripada bot nelayan tempatan (BNT) Persatuan Nelayan Teluk Nipah pada 12.14 tengah hari, yang menyertai op carilamat berkenaan.
"Mayat berkenaan dibawa ke Jeti Marina Pulau Indah untuk diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan seorang nelayan selamat manakala seorang lagi masih hilang setelah bot dinaiki terbalik ekoran dipukul ombak akibat cuaca buruk di perairan Pantai Acheh, Pulau Indah dekat sini pada 23 Jun lalu.
-- BERNAMA
#mayat mangsa #bot terbalik #Pulau Indah #ditemukan
;