Mayat mangsa banjir hanyut bersama kereta di Kampung Cempaka dijumpai
Mohd Zalani Md Atan
Disember 20, 2021 10:01 MYT
Disember 20, 2021 10:01 MYT
KUANTAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika cuba meredah arus banjir berhampiran Kampung Cempaka, di sini, awal pagi Ahad, ditemukan meninggal dunia pagi ini.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang, mayat mangsa Mohd Helmi Nazlan, 34, dijumpai pada jam 7.15 pagi kira-kira 5 kilometer dari tempat kejadian.
Pada hari kejadian, mangsa bersama seorang rakan terkandas dan dihanyutkan oleh arus deras semasa cuba mengharungi banjir dengan menggunakan kereta Proton Exora ketika dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Pahang.
Walau bagaimana rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memecahkan cermin belakang kereta tersebut.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan lanjut.
Operasi diketuai Ketua Balai Timbalan Penguasa Bomba Kamerul Bieza Mohd Kasim itu tamat pada jam 7.31 pagi.