Mayat Lydia, kanak-kanak 4 tahun ditemui terdampar tepi laut

Petrus Bernard
Februari 12, 2023 13:09 MYT
Anggota bomba membawa keluar mayat kanak-kanak itu sebelum identiti disahkan oleh ibunya. - Gambar/ JBPM
TAWAU: Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemukan terdampar di tepi laut Jalan Persisiran, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang menemui mangsa dikenali sebagai Lydia itu jam 1.37 tengah hari.
"Mayat itu dibawa naik oleh pasukan bomba. Ibu mangsa kemudian mengesahkan identitinya.
"Siasatan awal mendapati, kira-kira jam 4 pagi tadi, dia menyedari anaknya tiada di sisinya. Terdahulu, mereka yang juga suku Palauh tidur di kawasan kaki lima Kompleks Industri Ba Zong.
"Ibu mangsa berusaha mencari anaknya di sekitar kawasan berkenaan namun tidak menemuinya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengemis Jalanan | Kerajaan Sabah ambil pendekatan mendidik
Menurutnya, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk siasatan lanjut.
"Bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian mangsa. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.
#mayat kanak-kanak #Sabah #Palauh #lemas