Mayat lengkap berpakaian dipercayai kakitangan Jabatan Imigresen ditemukan lemas
Wanna Abd Rahim
Mei 19, 2022 17:06 MYT
Mei 19, 2022 17:06 MYT
KOTA BHARU: Mayat seorang lelaki dipercayai kakitangan Jabatan Imigresen Kelantan ditemukan lemas sekitar jam 12.00 tengah hari tadi.
Mayat yang masih lengkap berpakaian itu ditemukan berhampiran Kampung Penambang, kira kira 4 kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Mohd Rosdi Daud mengesahkan mayat yang ditemukan itu sebagai Khairul Nizam Omar berdasarkan hasil pengecaman yang dilakukan oleh isteri dan keluarganya.
Sebelum ini media melaporkan seorang penjawat awam yang berusia 46 tahun bertindak terjun ke Sungai Kelantan dari atas Jambatan Sultan Yahya Petra di sini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun sebelum ini menafikan tindakan yang dilakukan mangsa disebabkan tekanan tugas.
Mangsa dikatakan meninggalkan motosikalnya di atas jambatan itu sebelum bertindak terjun ke dalam sungai.
Operasi mencari dan mengesan mangsa digerakkan selepas menerima laporan pada hari kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan lebih 50 orang anggota membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Polis, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain.
Mayat mangsa dijangka akan dituntut oleh ahli keluarga petang ini selepas selesai urusan bedah siasat.