Mayat lelaki yang terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra ditemui
Vivi Sumanti
Januari 28, 2019 20:18 MYT
Januari 28, 2019 20:18 MYT
Mayat lelaki yang terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra pagi Isnin akhirnya ditemui pada jam 6.03 petang kira-kira 10 meter dari lokasi ia dilaporkan jatuh.
Jasad mangsa yang berusia 29 tahun itu ditemui sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam keadaan meniarap.
Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Kanan Bomba II, Syobirin Abd Kadir, berkata seramai lapan anggota PPDA terbabit dalam operasi selaman mencari mangsa itu.
"Mangsa ditemui jam 6.03 petang tadi dalam keadaan meniarap.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat," katanya.
Lelaki dari Pasir Mas yang dipercayai mengalami masalah mental itu dipercayai mati akibat lemas. Dia dilaporkan bertindak demikian selepas bertengkar dengan ibunya dalam kereta ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Kota Bharu.
Mangsa telah mengarahkan ibunya untuk memberhentikan kereta berdekatan dengan jambatan, sebelum keluar lalu terjun ke dalam Sungai Kelantan.