Mayat lelaki warga emas dikhuatiri lemas ketika menjala udang ditemukan
Bernama
Ogos 20, 2024 22:26 MYT
Ogos 20, 2024 22:26 MYT
ALOR SETAR: Warga emas yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menjala udang di Kuala Sala, Yan, semalam, ditemukan lemas petang tadi.
Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata mayat Ahmad Hashim, 71, ditemukan pada pukul 3.45 petang kira-kira 1.6 kilometer dari tempat warga emas itu dipercayai jatuh.
Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.26 malam oleh ahli keluarga yang memaklumkan bahawa warga emas itu masih belum pulang daripada menjala udang, dan disyaki jatuh ke dalam sungai.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejak semalam membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam selain penduduk kampung," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Operasi yang disambung hari ini berjaya menemukan mayat warga emas itu dan proses pengecaman telah dilakukan oleh anak lelakinya. Mayat telah dihantar ke Hospital Yan untuk proses bedah siasat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.50 petang," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA