Mayat lelaki terjun Sungai Golok ditemui

Vivi Sumanti
November 25, 2019 20:15 MYT
Anggota JBPM dan agensi keselamatan yang menyertai oeprasi mencari akhirnya menemui jasad mangsa sekitar jam 4.10 petang Isnin. - JBPM
Lelaki yang terjun di Sungai Golok berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang pada Ahad ditemui pada jam 4.10 petang Isnin.
Mayat Ahmad Nazri Abdul Aziz, 22, ditemui oleh anggota bomba pada jarak 100 meter (m) daripada lokasi dia dipercayai terjun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata mayat mangsa ditemui anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Kelantan yang memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak jam 8 pagi tadi.
"Bagaimanapun pada petang tadi, anggota yang terbabit dalam operasi ini menyedari dan melihat mayat mangsa timbul di permukaan air.
"Kemudian mayat mangsa segera diangkat untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
"Mayat dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat," katanya.
Imran kata, seramai 21 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dan turut dibantu oleh agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) sehingga mangsa ditemui.
Katanya, dia ingin menasihatkan kepada penduduk terutama mereka yang tinggal di sekitar Sungai Golok supaya lebih berhati-hati berikutan arus sungai yang deras kerana keadaan cuaca sekarang tidak menentu.
"Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain berdekatan dengan sungai," katanya.
#bomba #JBPM #lelaki terjun sungai #operasi sar #Rantau Panjang #Sungai Golok
;