Mayat lelaki terjun Jambatan Kuantan ditemui

Mohd Zalani Md Atan
Jun 15, 2022 14:16 MYT
Mayat mangsa yang berusia 37 tahun itu ditemui oleh pasukan penyelamat di sekitar Jambatan Kuantan pada pukul 10.15 pagi ini.
KUANTAN: Kehilangan seorang lelaki yang terjun dari Jambatan Kuantan berdekatan pasaraya Giant di sini, pada tengah malam semalam terungkai apabila mayatnya ditemukan pada pagi Rabu.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, mangsa, Tan Kee Ming, 37, ditemukan di sekitar Sungai Kuantan pada pukul 10.15 pagi.
Katanya, mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian di sekitar jambatan berkenaan.
“Kita melakukan operasi pencarian menggunakan sebuah bot aluminium di sekitar dari tempat lokasi mangsa dipercayai terjun sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Beliau menjelaskan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dilancarkan sejak semalam membabitkan tiga pegawai dan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan empat aset termasuk sebuah bot aluminium.
Tambahnya, operasi berkenaan turut disertai oleh Pasukan Unit K9 JBPM yang terdiri daripada empat pegawai dengan menggunakan dua ekor anjing pengesan.
“Kita turut dibantu pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) seramai tiga orang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seramai enam orang,” katanya.
Dalam kejadian semalam, mangsa dilaporkan hilang dan disyaki terjun dari jambatan berkenaan berikutan penemuan kereta mangsa di lokasi berkenaan.
Mangsa dikatakan mengalami kemurungan akibat menanggung kerugian dalam perniagaan bengkel kereta dan pernah mengugut mahu membunuh diri kerana terlalu tertekan.
#mayat lelaki #terjun jambatan #Jambatan Kuantan #Balai Bomba dan Penyelamat
;