Mayat lelaki terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra ditemui
Vivi Sumanti
Oktober 29, 2019 22:51 MYT
Oktober 29, 2019 22:51 MYT
Mayat lelaki yang bertindak terjun dari atas Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu pagi Isnin ditemui pada Selasa malam.
Mayat lelaki berusia 42 tahun ditemui di bawah jambatan berkenaan, di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Farid Ismail, mayat mangsa ditemui timbul sekitar jam 9.50 malam.
"Mayat mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah jambatan berkenaan" katanya ketika dihububgi.
"Mayat mangsa masih lengkap berpakaian dan dilihat timbul di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh" ujarnya lagi.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Bisrafel Bijuri, terjun dari atas jambatan berkenaan sekitar jam 10 pagi Isnin.
Mangsa dikatakan menunggang motosikal berseorangan dan meninggalkan motosikal yang dinaikinya di atas jambatan sebelum terjun ke dalam sungai.
Gerakan mencari mangsa dilakukan selepas menerima maklumat dari orang awam sekitar jam 10.30 pagi Isnin dan hari Selasa.
Mangsa yang dikatakan mempunyai dua orang anak dan bekerja sebagai jurujual kereta dipercayai mengalami kemurungan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab 11 untuk bedah siasat.
#bedah siasat
#bunuh diri
#Jambatan Sultan Yahya Petra
#JBPM
#Kemurungan
#mayat
#operasi sar
#terjun jambatan