Mayat lelaki reput ditemui di Sungai Rajang

Bernama
Jun 16, 2013 23:15 MYT
Mayat seorang lelaki dalam keadaan reput teruk ditemui terapung di Sungai Rajang, berdekatan rumah panjang Rh. Lat, di Punan Sama, di sini, hari ini.
Tempat penemuan mayat itu adalah lebih sejam perjalanan bot dari Giam Bungan di mana bot ekspres 'Kawan Mas' terbalik dan karam pada 28 Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata mangsa lemas itu memakai seluar jeans dengan tali pinggang kulit dan seluar dalam berwarna merah.
Beliau berkata penumpang sebuah bot ekspres yang melalui tempat itu melihat mayat mangsa pada pukul 1 tengah hari tadi sebelum memaklumkan kepada penduduk rumah panjang di situ.
Bakar berkata penduduk rumah panjang berkenaan kemudian memaklumkan penemuan itu kepada sebuah pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA dan Jabatan Pertahanan Awam yang melakukan operasi harian di kawasan itu.
Pasukan itu, yang terlibat dalam operasi tragedi bot itu, kemudian membawa mayat itu ke pusat kesihatan Belaga.
Bagaimanapun, Bakar berkata ia tidak dapat dipasitkan sama ada mangsa tersebut adalah daripada bot 'Kawan Mas' yang tenggelam itu.
Beliau menasihatkan orang ramai yang kehilangan saudara lelaki supaya memeriksa dan membuat laporan di balai polis Belaga.
Dalam tragedi bot ekpres tersebut, seorang lelaki, Maurice Ajan, 22 dan seorang wanita, Roslan Jati, 44, masih dilaporkan hilang.
Setakat ini, jumlah mangsa yang ditemui mati masih seorang manakala 213 mangsa terselamat.
#Bakar Sebau #mayat reput #Sungai Rajang
;