Mayat lelaki rentung ditemui dalam ladang kelapa sawit

Dewi Nur Harasha Alias
April 11, 2021 17:06 MYT
Mayat itu ditemui dalam keadaan terlentang dan masih memakai kasut jam 7.28 malam Sabtu oleh orang awam yang melalui kawasan terbabit. - Gambar/ Astro AWANI
NIBONG TEBAL: Mayat lelaki berusia 28 tahun dengan kesan rentung ditemui di dalam ladang kelapa sawit yang terletak di belakang sebuah kilang di Jalan Bukit Panchor, di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata mayat itu ditemui dalam keadaan terlentang dan masih memakai kasut jam 7.28 malam Sabtu oleh orang awam yang melalui kawasan terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian menemui kesan terbakar di pangkal pokok kelapa sawit kira-kira dua meter dari tempat mayat ditemui.
"Turut dijumpai di tempat kejadian pemetik api dan botol air mineral dipercayai diisi dengan petrol, selain sebuah kereta yang diparkir kira-kira 15 meter dari tempat mayat ditemui.
"Semakan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama si mati, dan pemeriksaan polis juga mendapati kereta berada dalam keadaan kemas dan tiada tanda tanda pergelutan.
"Polis juga tidak menemui sebarang senjata yang dapat dikaitkan dengan kejadian tersebut manakala kesan yang terdapat pada mangsa adalah kesan terbakar," katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Chong Chern berkata, kes berkenaan buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan polis tidak menolak kemungkinan ia adalah bunuh diri.
#mayat lelaki #rentung #terbakar #ditemui di ladang kelapa sawit #Nibong Tebal #polis #pemetik api #petrol #kereta #bedah siasat
;