Mayat lelaki lemas ketika menjala di lombong ditemui

Abd Razak Mohd Ali
Julai 1, 2023 10:30 MYT
Mayat mangsa ditemui selepas anggota menggunakan kaedah pusatan air dan 'figure of eight'. - Foto JBPM Perak
BIDOR: Mayat lelaki yang lemas ketika melakukan aktiviti menjala ikan di kawasan lombong dekat Jalan Pintasan Bidor-Teluk Intan, di sini, ditemui pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa, M. Krisnan, 45, ditemui pada jam 9.21 pagi.
Menurutnya, mangsa ditemui kira-kira 30 meter dari tebing lombong berkenaan.
“Mayat mangsa ditemui selepas anggota menggunakan kaedah pusatan air dan ‘figure of eight’,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, operasi pencarian diteruskan jam 8 pagi ini dengan tumpuan kepada kawasan jaring milik mangsa ditemui semalam.
Operasi yang diketuai Timbalan Penguasa Bomba A. Ravi tamat jam 10 pagi.
Semalam, media melaporkan, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.32 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikerah ke lokasi.
Sabarodzi berkata, setibanya jentera di tempat kejadian mendapati ada maklumat dari saksi yang berada di lokasi memaklumkan seorang lelaki melakukan aktiviti menjala ikan di kawasan lombong.
Katanya, menurut saksi, mangsa telah turun ke dalam lombong untuk menjala dan kemudian didapati mangsa hilang dari pandangan dan dipercayai lemas.
#lemas #mayat #ditemui #menjala ikan
;