Mayat lelaki lemas ketika korek pasir ditemukan tersangkut di kawasan ternakan ikan
Aida Aziz
Disember 18, 2022 16:13 MYT
Disember 18, 2022 16:13 MYT
KUALA KANGSAR: Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika menjalankan kerja-kerja mengorek pasir di Sungai Perak, dekat Kampung Kubang Pekan, di sini, kelmarin ditemukan dalam keadaan terapung hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai M Chandran, 38, ditemukan tersangkut di kawasan ternakan ikan sekitar pukul 12.35 tengah hari tadi oleh orang awam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi pencarian mangsa lemas itu memasuki hari ketiga hari ini yang bermula pada pukul 8.30 pagi.
"Teknik pencarian mangsa lemas menggunakan kaedah suface searching, radius pencarian mangsa diperluas kepada 20 kilometer.
"Mangsa ditemui pada jam 12.35 tengah hari oleh orang awam dan ditemukan dalam keadaan terapung dan tersangkut di kawasan ternakan ikan.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit menggunakan bot untuk mengambil mayat dan menyerahkannya kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jumaat lalu, media melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjalankan kerja-kerja mengorek pasir di Sungai Perak, dekat Kampung Kubang Pekan.
Mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai dan menurut orang kampung yang menyaksikan kejadian itu, mangsa dilihat terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus.
Pencarian secara operasi menyelam turut dibuat dilakukan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan pencarian dilakukan sehingga pada kedalaman antara lima hingga enam meter.