Mayat lelaki lemas ditemukan di Sungai Bongawan

Bernama
April 11, 2020 23:33 MYT
Mayat ditemui pada 1.05 tengah hari, satu kilometer dari kawasan mangsa dipercayai hilang.
Mayat seorang lelaki yang dipercayai lemas ketika mandi di sungai Kampung Sumbiling, Bongawan, pada Khamis lepas ditemukan hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah dalam kenyataan memaklumkan mayat Martin Limbas, 54, ditemui pada 1.05 tengah hari, satu kilometer dari kawasan mangsa dipercayai hilang.
Menurut kenyataan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis menerima panggilan kecemasan pada hari kejadian kira-kira 4.50 petang, sebelum bergerak ke lokasi sejauh 20 kilometer.
Usaha mencari dan menyelamat dijalankan oleh 12 anggota termasuk empat dari Pasukan Pencarian Dalam Air (PPDA).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA
#BBP Kimanis #Bongawan #Kampung Sumbling #lemas #Martin Limbas #Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah
;