Mayat lelaki hampir reput ditemui terdampar di Pantai Dungun

Bernama
April 13, 2016 19:46 MYT
Hasil siasatan awal mendapati mayat berkenaan adalah rakyat tempatan berdasarkan terdapat kesan suntikan BCG pada bahu mangsa.
Mayat seorang lelaki hampir reput ditemui terdampar di Pantai Batu Payung, Seberang Pintasan, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.
Katanya hasil siasatan awal mendapati mayat berkenaan adalah rakyat tempatan berdasarkan terdapat kesan suntikan BCG pada bahu mangsa.
"Kita percaya mayat tanpa pakaian itu dihanyutkan arus sebelum terdampar di pantai berkenaan. Pihak kami juga terpaksa meminta bantuan Jabatan Pertahan Awam (JPAM) untuk membawa mayat tersebut ke darat menggunakan bot," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ahmad Zailani berkata lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia sejak seminggu lepas berdasarkan keadaan mayat dan setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah pada mayat mangsa.
"Setakat ini kita mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut sehingga punca kematian dan laporan bedah siasat diperolehi,"katanya.
Menurutnya mayat berkenaan dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.
#Ahmad Zailani Yaacob #Jabatan Pertahan Awam #JPAM #mayat
;