Mayat lelaki ditemukan terapung di Sungai Tambun Tulang

Adie Sufian Zulkefli
Mei 6, 2023 21:13 MYT
Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di dalam Sungai Tambun Tulang, Simpang Empat, pada Sabtu. - Foto ihsan polis
KANGAR: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di dalam Sungai Tambun Tulang, Simpang Empat, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan mayat berkenaan pada jam 3 petang.
“Setiba anggota di lokasi mendapati mayat merupakan seorang lelaki tidak berbaju dan hanya berseluar panjang berwarna kuning.
“Bantuan anggota bomba dipanggil untuk membawa mayat itu ke tebing sungai lalu diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan awal polis mendapati mangsa berusia lingkungan 30-an dan polis tidak menemui sebarang kecederaan pada tubuh mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Yusharifuddin berkata, polis tidak menemui pengenalan diri pada mayat terbabit.
Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#mayat terapung dalam sungai #Sungai Tambun Tulang #Polis Daerah Kangar #simpang empat
;