Mayat lelaki ditemukan terapung di sungai berdekatan LRT Sentul

Afiezy Azaman
Januari 14, 2019 23:33 MYT
Polis memaklumkan bahawa mayat tersebut telah reput separuh badan. - Foto PDRM
Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemui terapung di sungai berdekatan Stesen Aliran Ringan (LRT) Sentul, di sini, pada Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa mayat tersebut telah reput separuh badan.
“Pihak polis menerima panggilan dari orang awam pada pukul 1.16 tengah hari, sebaik tiba dilokasi kami mendapati terdapat mayat lelaki terapung di sungai berkenaan.
“Pasukan forensik memeriksa mayat terbabit yang lengkap berpakaian kemeja-t dan berseluar 'slack' panjang namun tidak menemui sebarang dokumen atau barang peribadi milik mangsa. Bangsa dan umur juga masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
#HKL #Hospital Kuala Lumpur #LRT Sentul #mayat lelaki #reput #SAC Rusdi Mohd Isa #Sungai
;