Mayat lelaki ditemukan terapung di perairan Pulau Pasir
Adie Sufian Zulkefli
September 30, 2022 19:11 MYT
September 30, 2022 19:11 MYT
LANGKAWI: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di perairan Pulau Pasir, Langkawi, pada jam 11.45 pagi Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata, mayat tersebut ditemui pemandu bot penumpang semasa melakukan aktiviti menyusur paya bakau di perairan tersebut.
Katanya, sebaik bilik gerakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sub Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) menerima maklumat kejadian berkenaan, sebuah bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, (pihak kami) menjumpai mayat lelaki dalam keadaan telingkup di kedudukan 0.6 batu nautika Timur Tanjung Kemarong.
“Kemudian mayat itu diangkat ke dalam bot Maritim dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Romli berkata, pemeriksaan ke atas mayat itu tidak menemui sebarang pengenalan diri dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Romli meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Balai Polis Langkawi di talian 04-4666222.