Mayat lelaki ditemukan sudah mereput

Adie Sufian Zulkefli
November 20, 2022 15:55 MYT
Mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemukan di kawasan berbatu berhampiran Tanjung Rami, dekat Pulau Tuba, di Langkawi.
LANGKAWI: Mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemukan di kawasan berbatu berhampiran Tanjung Rami, dekat Pulau Tuba, di sini, pada pukul 11 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan terlentang oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada polis.
"Sebaik menerima laporan sepasukan anggota dan pegawai dihantar ke lokasi untuk melakukan siasatan dan menemui mayat itu dalam keadaan sudah mereput.
"Polis menjalankan siasatan dan tidak menemui sebarang dokumen identiti pengenalan pada mayat terbabit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, mayat berkenaan kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat.
Sehubungan itu, Shariman meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan.
Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
#mayat reput #mayat tanpa identiti #Tanjung Rami #Pulau Tuba
;