Mayat lelaki ditemukan berlumuran darah di UTC Kedah
Adie Sufian Zulkefli
September 13, 2023 16:10 MYT
September 13, 2023 16:10 MYT
ALOR SETAR: Pekerja dan pengunjung dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki berlumuran darah di ruang pendingin hawa di bangunan kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di Jalan Kolam Air, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.15 pagi dan sepasukan pegawai dan anggotanya telah digegaskan ke lokasi.
“Mayat itu ditemui seorang saksi berusia 25 tahun dan mengesyaki lelaki itu sudah meninggal dunia kemudian bertindak menghubungi polis melalui talian MERS 999.
“Saksi memaklumkan dia ternampak seseorang terbaring di ruangan pendingin hawa di bangunan berkenaan ketika sedang menunggu kenderaan e-hailing di situ.
"Mayat si mati kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Shukri berkata, setakat ini pihaknya sedang mengenal pasti identiti si mati yang berusia 39 tahun itu dan siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.
#Mayat lelaki ditemukan berlumuran darah
#UTC Jalan Kolam Air
#Hospital Sultanah Bahiyah
#Jabatan Forensik