Mayat lelaki ditemui terputus 2 terjatuh dari tingkat 26 kondominium

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 16, 2021 16:53 MYT
Mayat yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui pekerja pembersihan yang sedang membersihkan kawasan di tingkat enam bangunan itu pada jam 8.30 pagi. - Gambar/ PDRM
BAYAN LEPAS: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terputus dua selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 26 sebuah kondominium di sini, hari ini.
Mayat yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui pekerja pembersihan yang sedang membersihkan kawasan di tingkat enam bangunan itu pada jam 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati mayat itu terputus pada bahagian pinggang.
“Siasatan lanjut di sekitar tempat kejadian telah menemui selipar disyaki milik si mati di tingkat 26 blok bangunan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kamarul Rizal berkata, pihaknya sedang mengenal pasti identiti mangsa serta motif kejadian.
Buat masa ini, polis tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan bunuh diri.
Mayat itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Kamarul Rizal berkata, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk siasatan lanjut.
#mayat lelaki #terputus dua #terjatuh #tingkat 26 #bangunan #kondominium #Bayan Lepas #pulau pinang
;