Mayat lelaki ditemui dalam keadaan ngeri dipercayai dibaham harimau
Sinar Harian
November 11, 2023 13:50 MYT
November 11, 2023 13:50 MYT
GUA MUSANG: Mayat seorang lelaki Indonesia ditemui dalam keadaan mengerikan dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah Kuala Wok, Pos Pasik, di sini pada Jumaat.
Mangsa ditemukan oleh seorang lelaki warga tempatan yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kawasan terbabit.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan cebisan anggota tubuh mangsa itu pada jam 9.30 pagi.
"Kami telah gerakkan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kerjasama JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) Gua Musang dan penduduk setempat.
"Hasil operasi telah menemui cebisan kaki di kawasan cerun lebih kurang 500 meter dari lokasi anggota SAR tiba," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Menurut beliau, seterusnya anggota penyelamat telah ke lokasi kedua dan menemui cebisan badan serta sebahagian kaki kira-kira 300 meter dari kawasan penemuan pertama.
Ujarnya, mayat mangsa berjaya dibawa keluar oleh pasukan SAR pada jam 4.40 petang dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Choon Foo memberitahu, Perhilitan akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan haiwan liar terbabit. - Sinar Harian