Mayat lelaki dilapor hilang ditemukan terapung di Sungai Anak Bukit
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 1, 2024 19:00 MYT
Ogos 1, 2024 19:00 MYT
ALOR SETAR: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di dalam Sungai Anak Bukit berdekatan Kampung Alor Madi, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, polis menerima laporan pada jam 9.40 pagi.
“Sepasukan pegawai dan anggota dihantar ke lokasi kejadian dan hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang telah mereput.
“Pemeriksaan pada mayat telah menemui dokumen pengenalan diri pada seluar panjang yang dipakai. Berdasarkan dokumen pengenalan diri tersebut, mayat dipercayai adalah seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang baru sahaja dilaporkan hilang oleh warisnya pada pagi tadi.
“Menurut laporan kehilangan yang dibuat di Balai Polis Anak Bukit pada jam 9.36 pagi itu, mangsa didapati telah tidak kembali ke rumah sejak jam 6 petang Selasa (dua hari) lalu, sebelum waris mangsa tampil membuat laporan polis berkenaan kehilangannya pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Siti Nor Salawati berkata, mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan penuh bedah siasat diperolehi kelak.
#mayat lelaki dilapor hilang
#terapung di Sungai Anak Bukit
#Polis Daerah Kota Setar
#Kampung Alor Madi