Mayat lelaki dihanyut kepala air di Sungai Cerul ditemukan

Astro Awani
Ogos 1, 2021 05:00 MYT
Mangsa berjaya ditemukan selepas operasi SAR dilakukan selama hampir 24 jam sejak petang Sabtu. - Foto Astro AWANI
KEMAMAN: Seorang pemuda yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan bersama tiga lagi rakannya di Sungai Cerul, di sini, pada Sabtu, ditemui lemas.
Mayat Mohd Shafiq Ab Llah, 20 tahun, dikesan sekitar 20 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus deras atau ‘kepala air’ ketika mandi di sungai tersebut.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata mangsa ditemui terapung kira-kira jam 5.15 petang pada Ahad oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
"Mayat mangsa timbul ke permukaan air selepas pasukan penyelamat melakukan teknik pusaran di permukaan air menggunakan bot.
“Mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Menurut Azman, mangsa berjaya ditemukan selepas operasi SAR dilakukan selama hampir 24 jam sejak petang Sabtu.
Jelasnya, menerusi operasi itu, pihaknya menghadapi sedikit kesukaran berikutan dasar sungai dipenuhi oleh kayu, mata kail dan pukat ikan.
BACA: Lelaki dikhuatiri lemas dihanyut kepala air
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa dikatakan ke sungai berkenaan untuk menjala ikan sebelum dihanyutkan arus deras ketika cuba berenang melintasi sungai berkenaan.
Difahamkan, Mohd Shafiq bersama lima rakannya yang berusia lingkungan 13 hingga 20-an telah mandi dan memukat ikan di sungai itu.
Operasi SAR turut dibantu lebih 40 pegawai dan anggota bomba dan polis, di samping beberapa penduduk kampung.
#Kemaman #lemas #terengganu #bomba #mayat #Sungai Cerul #Azman Alias #Sungai #kepala air
;