Mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemukan di arau

Bernama
September 8, 2024 23:06 MYT
Mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemukan di halaman sebuah rumah di Jalan Jejawi, Arau petang tadi.
KANGAR: Mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemukan di halaman sebuah rumah di Jalan Jejawi, Arau petang tadi.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki yang identitinya sedang dikenal pasti itu daripada orang awam melalui panggilan telefon pada 6.33 petang.
"Siasatan awal mendapati lelaki itu ditemukan meninggal dunia di halaman rumah oleh orang awam yang sedang melalui kawasan bangunan MPK (Majlis Perbandaran Kangar) yang terletak bersebelahan dengan kawasan rumah terbabit.
"Mayat dijumpai dalam keadaan terlentang dan terbakar serta mula menggelembung. Anggaran tempoh kematian lelaki ini lebih kurang tiga hari," katanya dalam kenyataan malam ini.
Ahmad Mohsin berkata lelaki itu dipercayai seorang pemotong rumput upahan dan disyaki mesin rumput yang ada di halaman rumah itu terbakar dan menyambar tubuh mangsa.
"Tiada unsur jenayah dikesan dan tiada sebarang kesan pergelutan pada tubuh lelaki itu ... mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat esok," katanya.
-- BERNAMA
#mayat lelaki #kesan terbakar #ditemukan #Arau
;