Mayat lelaki berseluar renang ditemui terapung
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 27, 2022 05:45 MYT
Jun 27, 2022 05:45 MYT
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, menemui mayat terapung berhampiran sangkar ikan dekat Jambatan Kedua Pulau Pinang pada Isnin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata,Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang menerima maklumat mengenai penemuan mayat tanpa identiti itu kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
"Sebaik menerima aduan, bot KILAT 26 diatur gerak ke lokasi dan menemui mayat tanpa baju dan hanya berseluar renang disyaki warga asing, dalam keadaan terapung berhampiran sangkar ikan.
"Ketika pemeriksaan dilakukan, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui." katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Abd Razak berkata mayat kemudiannya diserahkan kepada Balai Polis Nibong Tebal dan dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.