Mayat lelaki berbaju kuning tidak berlengan ditemui di tepi lebuh raya PLUS

Bernama
Julai 25, 2018 19:22 MYT
Siasatan tidak menjumpai sebarang senjata di lokasi mayat itu ditemukan dan bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematian. - Gambar hiasan
Mayat seorang lelaki ditemui di tepi jalan Kilometer 277.1, Lebuh Raya PLUS, arah selatan, berdekatan Kampung Jerangkang, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Zaldino Zaludin berkata mayat lelaki yang dianggarkan berusia 35 hingga 40 tahun itu ditemui kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.
"Ketika ditemui, mayat yang tidak mempunyai identiti itu memakai baju berwarna kuning tidak berlengan dan berseluar pendek warna biru.
"Pemeriksaan oleh pihak forensik mendapati cuma terdapat kecederaan ringan seperti kesan calar pada mayat itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zaldino berkata siasatan tidak menjumpai sebarang senjata di lokasi mayat itu ditemukan dan bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematian.
-- BERNAMA
#lebuh raya #lelaki #mayat #nilai #PLUS #polis #siasatan
;