Mayat kru kapal terbakar ditemui di Jeti Telok Panglima Garang
Bernama
Mei 25, 2014 22:15 MYT
Mei 25, 2014 22:15 MYT
Mayat seorang kru kapal tangki 'Hai Lee 5' yang bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri selepas kapal itu terbakar di Jeti Pulau Carey di sini Jumaat lepas, ditemui di Jeti Al Tubik, Jalan Segenting, Telok Panglima Garang di sini pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil berkata mayat Abdul Syukur Mohd Nazim, 33, ditemui dalam tempoh 24 jam selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan bermula pukul 10.38 pagi semalam.
Beliau berkata mayat mangsa yang merupakan rakyat tempatan ditemui oleh nelayan pada pukul 10.45 pagi.
"Semasa kebakaran mangsa bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.
"Berdasarkan maklumat awal, semasa kebakaran pihak pengurusan syarikat kapal tersebut menyatakan kepada pihak kami semua anak kapalnya selamat," katanya di sini.
Akhbar sebelum ini melaporkan dalam kejadian pukul 7.06 malam itu, dua kru kapal tangki yang membawa muatan minyak hitam tersebut cedera ringan manakala empat lagi kru tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada kotak fius dan pendawaian di dalam kapal itu.
Akhbar turut melaporkan ketika kejadian, enam kru warga Indonesia berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun berada di atas kapal.