Mayat kru kapal jatuh sungai ditemui hampir reput
Afiezul Samit
April 20, 2022 23:19 MYT
April 20, 2022 23:19 MYT
SRI AMAN: Mayat seorang kru kapal warga Indonesia yang dilaporkan hilang di Sungai Lingga di sini pada Selasa ditemui dalam keadaan hampir reput di kawasan jeti feri Kampung Beliong, Batang Lupar di sini, pada Rabu.
Menurut Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, mayat mangsa ditemui sekitar jam 2.03 petang.
"Identiti mangsa hanya dapat dikenal pasti lewat petang setelah proses pengecaman dilakukan di Hospital Serian," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Katanya, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Peiter Patria Nusantara, 21.
Menurut laporan kata Ling Hii, mangsa yang bekerja di atas kapal Gloria 2, disedari hilang sekitar jam 6.30 pagi, Selasa lalu, ketika kapal berkenaan bersedia untuk berlabuh.
Dalam kes yang lain, seorang lelaki tempatan dilaporkan terjatuh ke dalam laut ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di Pulau Burong di sini.
"Bomba menerima panggilan sekitar jam 5.17 petang pada Isnin dan identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Francis Awi, 39.
"Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang aktif dijalankan membabitkan pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan pasukan Pengawal Pantai Sarawak.
"Pencarian pada hari ini meliputi kawasan seluas 18 kilometer persegi, namun belum menemui sebarang petunjuk," ujarnya lagi.