Mayat Kevin tidak boleh terus dikebumikan kerana keadaan - Adik
Bernama
Mei 6, 2016 19:39 MYT
Mei 6, 2016 19:39 MYT
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa mendiang Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais dibakar sebelum dikebumikan kerana keadaan mayatnya yang sudah terlalu reput dan berbau.
Adik Kevin, Datuk Richard Dilaan Morais, 50, berkata adalah menjadi amalan dalam agama Katolik bahawa mayat dikebumikan dan tidak dibakar.
Bagaimanapun, mayat Kevin tidak dapat terus dikebumikan kerana tiada gereja yang akan membenarkan mayat yang berada dalam keadaan tidak elok dibawa masuk ke dalam premisnya, kata beliau semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N. Sivananthan pada hari ke-11 perbicaraan pembunuhan Kevin Morais.
Enam lelaki - G. Gunasekaran, 48, R. Dinishwaran, 24, A. K. Thinesh Kumar, 23, M. Vishwanath, 26, S. Nimalan, 23, dan S. Ravi Chandaran, 45 - dituduh membunuh Kevin antara 7 pagi dan 8 malam 4 Sept 4, 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1, Jalan USJ1/ 6D, Subang Jaya.
Kol Dr R. Kunaseegaran, 53, dituduh bersubahat dengan keenam-enam mereka dalam pembunuhan itu.
Ditanya adakah tiada sesiapa yang tahu punca kematian Kevin pada 16 Sept 2015, Richard berkata tiada siapa yang tahu mengenainya kerana pada masa itu mayat Kevin dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Richard, saksi pendakwa pertama yang dipanggil semula hari ini untuk memberi keterangan, juga berkata punca kematian Kevin dimaklumkan pada satu perjumpaan di Balai Polis Sentul pada 12 Nov 2015, yang turut dihadiri dua adiknya, David Ramesh Morais dan Charles Suresh Morais.
Ditanya sama ada mayat Kevin pernah dibawa ke mana-mana gereja, Richard berkata hanya abunya dibawa ke gereja.
Terdahulu, dalam jawapan kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa pada pemeriksaan utama, Richard berkata beliaulah yang menerima sijil mati Kevin kerana beliaulah yang menuntut mayat mendiang.
Katanya, sijil itu dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara di Hospital Kuala Lumpur pada 23 Nov tahun lepas, hari yang sama beliau menuntut mayat itu.
Beliau juga mengesahkan bahawa punca kematian seperti yang dinyatakan dalam permit pengebumian dan sijil mati ialah kemungkinan disebabkan asfiksiasi (kelemasan).
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada 6 Jun.