Mayat ketiga kes bot terbalik di perairan Sepang ditemui

Bernama
Jun 23, 2014 17:10 MYT
Mayat ketiga kes bot terbalik di perairan Sepang ditemui
Mayat ketiga dipercayai daripada bot pancung membawa 27 warga Indonesia yang terbalik di Beacon Api Gila, perairan Sepang Rabu lepas dijumpai di Sepat Beacon pagi tadi.
Ketua Penguatkuasa Maritim Klang, Kapten Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata mayat lelaki itu ditemui oleh bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 11.05 pagi.
"Bagaimanapun, buat masa ini kita masih menyiasat untuk mendapatkan pengesahan seratus peratus sama ada mayat ini terlibat dalam kes bot karam Beacon Api Gila, perairan Sepang ataupun di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Mayat pertama kejadian bot itu dijumpai pada Sabtu lepas di Sepat Beacon, manakala mayat kedua dijumpai di kawasan Batu Laut pada pukul 9.35 pagi semalam.
Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat melibatkan kejadian bot itu yang memasuki hari keenam hari ini.
Dalam kejadian Rabu lepas itu, empat hilang dan yang lain terselamat.
#bot #Indonesia #karam #Kuala Langat #Pelabuhan Klang Utara
;