Mayat keenam tragedi bot terbalik di Bachok ditemui
Muhafandi Muhamad
Julai 2, 2020 23:52 MYT
Julai 2, 2020 23:52 MYT
Mayat keenam mangsa tragedi bot terbalik di Bachok ditemui di kawasan perairan Laut China Selatan, kira kira 21 batu nautika dari Kuala Kemasin.
Mangsa, Harun Daud, 57, ditemui terapung sekitar jam 4.19 petang tadi sebelum di bawa ke jeti pendaratan ikan Kuala Kemasin.
Menurut Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman, mayat tersebut disahkan oleh anak mangsa berdasarkan pakaian terakhir yang dipakainya sebelum ke laut.
"Kami terima maklumat dari nelayan. Ketika pihak maritim sampai di lokasi, kami belum dapat mengesahkan mayat, sehinggalah dibawa naik ke jeti," kata Samsulmuddin.
Menurutnya lagi, mayat ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan sempurna dan pengecaman dibuat berdasarkan jam tangan yang dipakai serta dompet yang berada di dalam poket seluar mangsa.
Mayat mangsa ditemui sekitar 9.2 batu nautika dari kawasan bot yang dinaikinya terbalik pada malam 29 Jun lepas.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.
Sementara itu, operasi mencari dua lagi mangsa Arman Ismail, 43 dan Che Wadi Bakar, 30-an akan disambung esok.
Setakat ini, lima mangsa yang meninggal dunia telah ditemukan sejak operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan iaitu Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an dan Ahmad Syafiq Che Alim, 30.
Sementara itu, 12 daripada 20 mangsa pula selamat dalam kejadian tersebut, dengan kesemua mangsa berusia antara 18 hingga 60 tahun.