Mayat kedua kes lemas di pantai di Marang ditemui

Nur Fazlizai Ali
Disember 27, 2020 21:05 MYT
Pada petang Jumaat, Wan Nashaifudin dikhuatiri lemas dihanyutkan ombak besar ketika beriadah bersama enam lagi rakannya di pantai berkenaan. -Gambar/ Astro AWANI
MARANG: Seorang buruh yang hilang dihanyutkan ombak di Pantai Jambu Bongkok di sini, ketika beriadah bersama rakannya Jumaat lalu ditemui lemas di Pantai Rhu Kubur, Marang, petang tadi.
Mayat Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, mayat itu dijumpai pada jarak empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Rondaan yang dilakukan pasukan jet ski berjaya mengesan mayat mangsa," katanya di sini, malam ini.
Jelasnya pengecaman yang dilakukan ahli keluarga mangsa mengesahkan identiti mayat berkenaan.
BACA: Bakal pengantin dikhuatiri lemas ditarik ombak Pantai Kelulut
BACA: Pelamin tanpa pengantin, resepsi kahwin bertukar jadi majlis doa selamat
BACA: Dua lelaki dikhuatiri lemas di Marang
Pada petang Jumaat, Wan Nashaifudin dikhuatiri lemas dihanyutkan ombak besar ketika beriadah bersama enam lagi rakannya di pantai berkenaan.
Mangsa yang berusia 48 tahun itu bersama rakannya dikatakan berkunjung ke pantai berkenaan kira-kira jam 6 petang untuk mandi.
Pada jam 6.40 petang hari yang sama, seorang bakal pengantin Naim Hariri Kamaruddin, 31, turut hilang dihanyutkan ombak di Pantai Kelulut.
Mayatnya ditemui terdampar di Pantai Alur Tuman, Marang, kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada jam 8.30 pagi tadi.
#lemas #Marang #Pengantin #buruh #dua kes lemas #Pantai #ombak besar #Naim Hariri Kamaruddin #Wan Nashaifudin
;