Mayat kanak-kanak tiga tahun terjatuh dari rumah rakit ditemukan
Azee Shafy
Mei 29, 2022 13:01 MYT
Mei 29, 2022 13:01 MYT
KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang dikhuatiri terjatuh dari rumah rakit di Bukit Rangin di sini berjaya ditemukan anggota bomba, pagi ini.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa, Siti Nur Athhiya Sofea Muhammad Sukri ditemukan pada jam 11.35 pagi.
"Mayat ditemukan kira-kira 1.5 kilometer dari rumah rakit iaitu lokasi mangsa dipercayai terjatuh oleh pasukan bomba yang menjalankan Operasi SAR hari kedua pada hari ini.
"Skop pencarian diluaskan sehingga radius tiga kilometer dari lokasi kejadian, dan menumpukan pencarian secara 'surface searching' selain Unit K9 yang melakukan beberapa selaman bagi operasi ini," katanya.
Sebelum ini, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa, Muhammad Sukri Ali, 50, yang juga pengusaha rumah rakit berkenaan dan hanya menyedari kehilangan anaknya itu sekitar pukul 11.15 malam dan cuba mencarinya di sekitar rumah rakit itu, namun gagal.
Ismail berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian baju kurung berwarna merah seperti yang dilaporkan bapa mangsa.