Mayat kanak-kanak mangsa bot karam Nanga Temalat dijumpai

Astro Awani
Disember 14, 2016 20:39 MYT
Dalam kejadian Isnin lalu, sebuah bot dinaiki tujuh penumpang termasuk tiga kanak-kanak karam di Sungai Rajang berdekatan Kampung Tamalat dipercayai berpunca daripada arus deras. -Gambar hiasan
Jasad seorang kanak-kanak lelaki mangsa bot karam di Nanga Temalat dekat sini dijumpai di Durin, tengah hari tadi.
Pengecaman mayat Rudy Alfadence Danstarns Gino Bansing, 7, seorang murid SK Nanga Temalat, dilakukan sendiri oleh ibunya berdasarkan seluar biru yang dipakai mangsa ketika kejadian pada petang Isnin lalu.
Komander Operasi, Fredrick Aok berkata mayat Rudy ditemukan kira-kira 50 kilometer dari lokasi kejadian bot karam itu.
Menurutnya, mayat dikesan susulan maklumat daripada salah seorang penumpang bot ekspres yang kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada pihaknya.
"Arus sungai yang deras menyebabkan mayat mangsa hanyut hingga ke hilir Jambatan Durin, iaitu antara Kanowit dan Sibu.
"Sebaik menerima maklumat daripada saksi tersebut, kami telah menggerakkan anggota SAR ke lokasi dilaporkan yang mana mayat berkenaan telah ditemukan oleh anggota polis Marin Sibu yang meronda dan telah membawa mayat ke tebing sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital Sibu," katanya.
Berikutan penemuan itu, Fredrick berkata, pihaknya akan memperluaskan kawasan pencarian bagi mengesan seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak perempuan bernama Reffinej Clarence, 9, yang masing hilang.
Dalam kejadian Isnin lalu, sebuah bot dinaiki tujuh penumpang termasuk tiga kanak-kanak karam di Sungai Rajang berdekatan Kampung Tamalat dipercayai berpunca daripada arus deras.
Mereka difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah panjang berhampiran tempat kejadian selepas mengambil buah di kebun di seberang sungai.
#bot karam #jambatan durin #rudy alfadance
;