Mayat kanak-kanak lemas dihanyut arus di Tanjung Malim ditemui selepas 4 hari
Amirrul Rabbani
Jun 6, 2023 15:14 MYT
Jun 6, 2023 15:14 MYT
TANJUNG MALIM: Kanak-kanak berusia lapan tahun yang hilang dihanyutkan arus di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat di sini, pada Sabtu, ditemui lemas di Lubuk Gelap, Sungai Bernam di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad, berkata mayat mangsa ditemukan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM kira-kira jam 12.35 tengah hari.
“Mangsa ditemukan oleh Unit K9 JBPM dalam keadaan tersangkut pada kayu di tebing sungai. Mangsa ditemukan pada jarak lapan kilometer (km) dari lokasi terakhir dia hilang.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada media pada Selasa.
Sebelum itu katanya, operasi SAR hari keempat bagi mencari kanak-kanak itu diperluaskan sehingga ke sembilan km dari titik terakhir dia dilaporkan hilang, berbanding lima km semalam.
Tambahnya, operasi itu melibatkan seramai 49 anggota pasukan penyelamat dan dua ekor anjing pengesan daripada Unit K9 serta 12 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Operasi SAR dimulakan pada jam 9.30 pagi dengan menggunakan kaedah ‘river downstream’, ‘surface searching’, ‘tensionel diagener’, serta ‘stream searching’,” jelasnya lagi.
Sabtu lepas, mangsa dikenali sebagai Edward Grang Anak Jenggut yang berasal dari Sarawak ke lokasi terbabit untuk berkhemah bersama keluarganya sempena cuti sekolah dan sepatutnya pulang pada petang hari kejadian.
Pihak bomba kemudiannya menerima maklumat mangsa yang dikhuatiri lemas ketika mandi di lokasi kejadian pada jam 5 petang.