Mayat kanak-kanak lemas di Sungai Plentong ditemui

Shahrul Hassan
Disember 14, 2017 06:00 MYT
Mayat Mohammad Fareezuan Anuar ditemui pada jam 10 pagi tadi, kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh. - Foto AstroAWANI
Mayat kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Plentong pada petang Selasa telah ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Mayat Mohammad Fareezuan Anuar ditemui pada jam 10 pagi tadi, kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh .
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Mohd Anuar Amdzah berkata, mayat mangsa dibawa ke Stulang Laut bagi tujuan pengecaman oleh waris mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pada lewat petang Selasa, mangsa, Mohammad Fareezuan dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Plentong di Kampung Sri Makmur, Johor Bahru bersama adiknya, Mohammad Fahim Ikmal, 9, ketika bermain di kawasan itu.
BACA: Budak 12 tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke sungai
Bagaimanapun, Mohd Ikmal berjaya diselamatkan rakannya selepas berpaut pada besi dan Mohammad Fareezuan dibawa arus deras sungai.
Sebelum kejadian, dua beradik itu dipercayai bermain bersama enam rakan mereka yang lain.
#Budak lemas #Johor Bahru #Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya #Mohammad Fareezuan Anuar #Mohd Anuar Amdzah #Sungai Plentong