Mayat kanak-kanak lelaki 3 tahun ditemui di sungai selepas 18 jam
Petrus Bernard
Oktober 24, 2021 18:56 MYT
Oktober 24, 2021 18:56 MYT
TAWAU: Mayat budak lelaki berumur 3 tahun ditemui di sungai Kampung Jawa, Tawau, Sabah selepas 18 jam kanak-kanak tersebut dikhuatiri lemas akibat tergelincir pada Sabtu.
Sebelum kejadian pada jam 2.45 petang Sabtu, mangsa dikatakan sedang bermain belon bersama abangnya yang baru berumur 4 tahun di rumah datuk mereka yang berhampiran dengan sungai tersebut.
Kejadian berlaku apabila datuk mangsa yang menjaga mereka, masuk sebentar ke rumah untuk makan sementara mangsa dan abangnya terus bermain di luar rumah.
Kejadian mangsa yang tergelincir ke dalam sungai hanya disedari selepas abang mangsa memaklumkan kepada datuknya, dan seterusnya panggilan kecemasan dibuat ke Balai Bomba Dan Penyelamat Tawau.
Penolong Penguasa Bomba Daerah Tawau (PPgB) Madzlan Sarman, yang juga ketua operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkata, sebaik makluman diterima, sepasukan lapan anggota dengan dua jentera bomba digerakkan ke lokasi kejadian.
"Selepas 4 jam pencarian dilakukan sejauh 2 kilometer menyusuri sungai berkenaan, mangsa gagal ditemui sebelum pencarian ditangguhkan pada jam 6.30 petang berikutan keadaan gelap dan bersambung pada Ahad," katanya.
"Pada hari kejadian kelmarin, air sungai agak deras kerana hujan dan ini menyebabkan pasukan penyelamat dan orang awam sukar melakukan pencarian.
"Selepas SAR diteruskan seawal jam 6.30 pagi Ahad, akhirnya mayat mangsa, Mohd Alif Amiruddin, ditemui oleh pasukan penyelamat dan orang awam yang turut membantu.
"Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 8.19 pagi sekitar 600 meter dari lokasi kejadian iaitu dalam keadaan tenggelam dan tersangkut di bawah rumpun buluh di tebing sungai," jelasnya.
Mayat mangsa seterusnya dibawa ke rumahnya sementara menunggu ketibaan petugas kesihatan untuk melakukan ujian COVID-19, sebelum dibawa ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat selepas keputusan ujian itu didapatkan.
Operasi SAR tersebut ditamatkan pada jam 8.30 petang.
Sementara itu, ibu mangsa, Ikmawati Baharuddin, 20, ketika ditemui berkata, sebelum kejadian dia menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan anaknya itu meminta kebenaran kepadanya untuk bermain bersama abangnya di rumah datuknya .
"Saya dimaklumkan mangsa tergelincir ke dalam sungai ketika hendak mengambil belonnya yang terjatuh ke dalam sungai," katanya.
Hasil perkongsian hidup Ikmawati dan suaminya, Amiruddin Mustapha, 40, dikurniakan tiga orang cahaya mata, Mohd Azmir Amiruddin, 4; Mohd Alif (mangsa lemas); dan Nur Qalisyah Amiruddin yang berumur 9 bulan.
Untuk rekod, kejadian mangsa lemas di sungai berkenaan telah berlaku tiga kali, melibatkan kanak-kanak penduduk kampung tersebut.