Mayat kanak-kanak jatuh longkang ditemui selepas 4 kali laungan azan

Bernama
Februari 13, 2023 20:20 MYT
Suasana pilu menyelubungi kawasan tebing Sungai Kemensah apabila mayat Muhammad Riqullah ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, Ampang pada Sabtu lepas, ditemukan di bawah timbunan batu-bata petang tadi.
Ketua Zon 4 (Hulu Langat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata mayat kanak-kanak itu ditemukan pada kira-kira 5.10 petang.
Beliau berkata bomba menemukan mayat berkenaan pada jarak 400 meter dari lokasi kejadian dan 100 meter dari Pos Kawalan Bomba.
"Pada mulanya kami telah korek kawasan yang dikenal pasti ada mayat, namun tidak jumpa.
"Selepas empat kali laungan azan dibuat, tidak lama kemudian anggota saya melihat ada lalat hurung di lokasi berkenaan dan ketika itulah kami dapat petunjuk lalu mula menggali semula dan menemukan tubuh kanak-kanak itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.
Shahrin Yusmar berkata tubuh kanak-kanak berkenaan sempurna, tidak reput dan hanya kulit sahaja yang mula melepuh di beberapa bahagian anggota badan.
Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kedua itu sedikit mencabar apabila terdapat tanah runtuh semalam.
"Alhamdulillah, hari ini keadaan cuaca juga baik dan tidak hujan mempermudahkan urusan kami menemukan mayat kanak-kanak lelaki berkenaan," katanya sambil menambah operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada 6.30 petang.
Menurutnya mayat kanak-kanak itu akan dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat.
Pada Sabtu lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan lemas manakala seorang lagi masih hilang dipercayai hanyut dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ampang, di sini.
Mangsa yang lemas dikenali sebagai Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan manakala mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Muhammad Riqullah Mohd Shafie berusia 10 tahun.
-- BERNAMA
#kanak-kanak hilang #jatuh longkang #Ukay Perdana #operasi sar
;