Mayat kanak-kanak hilang Nur Aisyah Aleya ditemui, dipercayai meninggal dunia dua minggu lalu

Salim Aziz
Mac 6, 2019 12:07 MYT
Nur Aisyah Aleya dilaporkan hilang pada 3 Mac.
Mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang dilapor hilang ketika dalam jagaan pengasuh bulan lalu, telah ditemui di sebuah kawasan hutan di Pulau Langkawi hari ini dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan sepasukan polis telah menjumpai rangka mayat kanak-kanak itu di kawasan hutan Gunung Raya pada pukul 11.30 pagi.
Penemuan itu terbongkar susulan soal siasat terhadap dua suspek – pasangan suami isteri yang menjaga Nur Aisyah Aleya. Pasangan itu ditahan di Ampang, Selangor pada Selasa selepas dipercayai melarikan diri dari Langkawi.
Mohd Iqbal berkata, mereka kemudian dibawa semula ke Langkawi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.
Menurut kenyataan suspek, Nur Aisyah Aleya mengalami sawan ketika dimandikan dan tidak sedarkan diri.
Salah seorang suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dan meninggalkan kanak-kanak itu di satu kawasan hutan.
Nur Aisyah Aleya dilaporkan hilang pada 3 Mac oleh ibunya, Rosmaliah Samo, 31 tahun, selepas dia pergi ke kediaman pasangan itu untuk mencari anaknya.
Dia membuat laporan polis selepas suspek memberitahunya anaknya telah diserahkan kepada pihak ketiga untuk dijaga.
#Ampang #hilang #Kanak-kanak #Langkawi #mayat #meninggal dunia #Nur Aisyah #Nur Aisyah Aleya Abdullah #polis #siasatan #suspek
;