Mayat kanak-kanak dikhuatiri lemas ditemui

Petrus Bernard
Disember 15, 2022 07:05 MYT
Mangsa berjaya ditemui pada jarak 50 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang. - Foto JBPM
TAWAU: Pencarian kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Kebun JKK Kalabakan, di sini, berakhir apabila mayatnya ditemukan, malam tadi.
Mayat Mohamad Raffizal Abdullah ditemui anggota bomba, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan dan orang awam kira-kira jam 8.30 malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 8.07 malam, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi turut dibantu PBS Kalabakan dan orang awam.
"Operasi pencarian kemudian dijalankan dan mangsa berjaya ditemui pada jarak 50 meter dari lokasi dilaporkan hilang.
"Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurut jurucakap itu lagi, operasi pencarian ditamatkan pada 8.50 malam.
#Mohamad Raffizal Abdullah #kanak-kanak lemas #Sungai Kebun JKK Kalabakan #bomba
;