Mayat jaket merah ditemui terapung
Radhi Muslim
Januari 16, 2021 07:05 MYT
Januari 16, 2021 07:05 MYT
SANDAKAN : Mayat memakai jaket warna merah ditemui terapung di perairan Tambisan, Lahad Datu, pada Sabtu.
Mayat berseluar pendek itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Sandakan kira-kira jam 11.30 pagi.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, mayat berkenaan ditemui terapung penduduk setempat.
Menurutnya, kejadian itu kemudiannya dilaporkan kepada agensi penyelamat lalu Kapal Peronda Maritim (KM) Serasan dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
“Sebaik tiba, satu mayat lelaki ditemui lalu dibawa ke Jeti Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Namun demikian, proses pengecaman belum dilakukan dan siasatan masih dijalankan sama ada berkaitan dengan dua kes bot karam sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
Terdahulu, pada Rabu, sebuah bot tunda dinaiki lima lelaki karam dipukul ombak menyebabkan tiga kru masih hilang manakala dua lagi berjaya diselamatkan.
Pada Jumaat pula, sebuah bot nelayan dinaiki empat kru karam menyebabkan dua mangsa hilang dan dua selamat.
Justeru itu, siasatan masih diteruskan sama ada penemuan mayat mempunyai kaitan dengan dua kes terbabit.