Mayat ibu dalam peti sejuk: Tubuh masih beku, bedah siasat belum dijalankan - Polis
Hasimi Muhamad
November 13, 2024 11:30 MYT
November 13, 2024 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bedah siasat mayat wanita berusia lingkungan 80-an yang dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya dan disimpan di dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini, dijangka dilakukan tengah hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood, proses berkenaan belum dapat dilakukan buat masa sekarang kerana mayat mangsa dalam keadaan beku.
“Kita masih lagi menunggu bedah siasat yang akan dijalankan oleh pegawai perubatan.
“Proses itu akan dilakukan selepas ais cair kerana mayat dalam keadaan beku,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Ditanya mengenai status waris atau ahli keluarga mangsa, beliau memaklumkan polis sedang mengumpulkan maklumat berhubung perkara itu.
“Mayat akan dituntut selepas proses bedah siasat selesai. Tapi (waris), kita belum ada maklumat lagi dan sedang menyiasat,” tambah beliau.
Pada Selasa, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan memaklumkan telah menahan seorang suspek lelaki tempatan berumur 53 tahun bagi membantu siasatan.
Ujar beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Terdahulu, polis menemui mayat seorang wanita yang disimpan dalam peti sejuk beku selepas dipercayai dibunuh anaknya di sebuah rumah di Taman OUG.
Perkara itu terbongkar selepas anak lelaki mangsa yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis sebelum memaklumkan kejadian itu.
Mangsa yang dipercayai dibunuh pada Mac 2021 dibalut dengan tuala dan plastik sebelum diletakkan di dalam peti sejuk beku.