Mayat ibu dalam peti sejuk: Suspek belum sihat, polis akan sambung reman

Ridauddin Daud
November 18, 2024 13:53 MYT
Menurut ACP Ku Mashariman (tengah), doktor memerlukan lebih banyak masa untuk membuat penilaian terhadap suspek terutamanya dari sudut kesihatan.
KUALA LUMPUR: Polis akan menyambung reman seorang lelaki berhubung siasatan penemuan mayat wanita dalam sebuah peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG, di sini, pada minggu lepas.

Ringkasan AI
  • Polis menyambung reman lelaki berusia 53 tahun berkaitan kes penemuan mayat wanita dalam peti sejuk beku di Taman OUG, kerana suspek masih menjalani penilaian kesihatan.
  • Proses bedah siasat tertangguh kerana organ dalaman mayat memerlukan masa untuk mencair sepenuhnya sebelum penilaian dilakukan.
  • Setakat ini, lima saksi termasuk jiran dan polis telah memberi keterangan, manakala suspek sedang diperiksa kesihatan fizikal dan mental di hospital.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, reman disambung memandangkan kesihatan lelaki berusia 53 tahun itu masih tidak berada di tahap yang baik.
Menurutnya, doktor memerlukan lebih banyak masa untuk membuat penilaian terhadap suspek terutamanya dari sudut kesihatan.
Pada masa sama, beliau juga memaklumkan proses bedah siasat terhadap mayat mangsa belum selesai.
“Bedah siasat belum selesai, pasal mayat 'defrost' mengambil masa. Sebenarnya organ dalaman itu memerlukan masa untuk ‘defrost’.
“Memang luaran kita tengok selepas dua tiga hari nampak normal tapi di dalam. Macam kita beli ikan, luar boleh potong tapi di dalam masih membeku.
“Jadi pihak forensik memerlukan masa lagi untuk membuat penilaian terhadap organ-organ dalaman mangsa,” katanya.
Bedah siasat mayat wanita warga emas dibunuh anak kandung ambil satu minggu
Tambah beliau, suspek yang kini sedang menerima rawatan di hospital akan diperiksa tahap kesihatannya secara menyeluruh, termasuk melibatkan kesihatan mentalnya.
Katanya lagi, setakat ini lima keterangan saksi sudah dirakam membabitkan jiran dan polis yang menerima maklumat pertama kejadian tersebut.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada Isnin.
Astro AWANI pada Selasa lepas melaporkan polis menemui mayat seorang wanita yang disimpan dalam peti sejuk beku selepas dipercayai dibunuh oleh anaknya sejak 2021 di sebuah rumah di Jalan Klang Lama.
Menurut sumber, anak lelaki mangsa yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
#bedah siasat #peti sejuk #mayat ibu #hasil siasatan #terkini
;