Mayat ibu dalam peti sejuk beku: 'Suspek keluar 3 kali dalam tempoh dua minggu untuk cari makan' - Jiran

Hasimi Muhamad
November 12, 2024 19:25 MYT
Seorang wanita mendakwa, sejak empat tahun tinggal di kawasan perumahan itu, rumah suspek sentiasa dalam keadaan gelap. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Suspek yang dipercayai membunuh ibunya dan menyimpan mayat mangsa di dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu didakwa tidak bertegur sapa dengan jiran di kawasan perumahannya di Taman OUG, di sini.
Seorang jiran yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu Astro AWANI, suspek lelaki itu bagaimanapun lazimnya dilihat keluar dari kediamannya tiga kali dalam masa dua minggu.
Dia berkata, kemungkinan suspek keluar untuk mencari bekalan makanan sebelum kembali ke rumahnya.
“Selalu dia keluar dengan keretanya.
“Dia juga tidak bergaul dengan orang,” katanya yang sudah 50 tahun tinggal di kejiranan itu.
Sementara itu seorang lagi jiran yang tinggal berdekatan mendakwa sudah lama tidak melihat kelibat mangsa, yang berusia dalam lingkungan 80-an.
Seorang lagi wanita yang juga enggan mendedahkan identitinya mendakwa, sejak empat tahun tinggal di kawasan perumahan itu, rumah suspek sentiasa dalam keadaan gelap.
“Polis datang potong kunci pagar rumah suspek. Polis beritahu, lelaki itu dalam keadaan terbaring di sebelah peti sejuk beku.
“Suspek dipercayai kena strok,” dakwanya.
Tinjauan Astro AWANI mendapati bahagian depan halaman rumah suspek dalam keadaan bersemak dan tidak terurus.
Bagaimanapun, kipas angin dan lampu dilihat terbuka, selain sebuah basikal serta tong gas berada dalam rumah berkenaan.
Terdahulu media melaporkan seorang lelaki tergamak membunuh ibunya berusia lingkungan 80-an sebelum disimpan di peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Taman OUG, di sini.
Polis menemui mayat seorang wanita yang disimpan dalam peti sejuk beku selepas dipercayai dibunuh anaknya di sebuah rumah di Taman OUG, Jalan Klang Lama, hari ini.
Perkara itu terbongkar selepas anak lelaki mangsa yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu.
Mangsa, seorang wanita berusia 80-an itu dipercayai dibunuh anak lelaki berusia 50-an pada Mac 2021.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan terbaharu memaklumkan telah menahan seorang suspek lelaki tempatan berumur 53 tahun bagi membantu siasatan.
Ujar beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
#bunuh ibu #peti sejuk #jenayah #polis #suspek ditahan #Taman OUG
;