Mayat Hud ditemui, dihanyutkan 7km dari rumah
Astro Awani
Februari 26, 2025 17:05 MYT
Februari 26, 2025 17:05 MYT
Difahamkan, mayat mangsa ditemui di kawasan muara sungai di Kampung Kerila kira-kira jam 4.20 petang. - Foto Astro AWANI
TANAH MERAH: Kanak-kanak berusia 19 bulan, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, yang hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, sejak Isnin lalu, ditemui meninggal dunia tersangkut pada pokok di muara sungai, tujuh kilometer dari rumahnya.
Difahamkan, mayat mangsa ditemui di kawasan muara sungai di Kampung Kerila kira-kira jam 4.20 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat dan keluarga mangsa diminta ke hospital untuk proses selanjutnya.
"Mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba dan dibantu oleh orang awam.
"Ketika kejadian, paras air sungai tinggi dan hari ini air sudah surut yang mendorong kepada penemuan mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki hilang di belakang rumah neneknya di Kampung Aira Kuala Tiga di sini, selepas waktu maghrib pada Isnin.