Mayat Gareth Huntley dijangka diterbangkan ke UK pada Rabu

Astro Awani
Jun 9, 2014 15:24 MYT
Warga Britain yang hilang di Pulau Tioman, Gareth David Huntley - Gambar fail
Mayat warga Britain yang hilang di Pulau Tioman, Gareth David Huntley dijangka dibawa pulang oleh keluarganya di United Kingdom pada Rabu ini untuk pengebumian.
Mayat Huntley yang dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan telah dituntut keluarganya pada Isnin menerusi sebuah syarikat pengurusan mayat dari Kuala Lumpur.
Sebelum ini, ujian DNA mengesahkan bahawa mayat yang sebahagian mukanya reput dan dijumpai di sebuah sungai di Pulau Tioman itu adalah Huntley.
Lelaki berusia 34 tahun yang bekerja dan tinggal di Projek Penyu Juara (JTP) di Kampung Juara, Pulau Tioman, dikatakan pergi ke kawasan air terjun berkenaan secara bersendirian.
Dia bagaimanapun tidak pulang ke tempat penginapannya dan menyebabkan rakan dan beberapa penduduk kampung keluar mencarinya di kawasan sekitar air terjun sebelum membuat laporan polis.
Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan melibatkan lebih daripada 150 anggota polis, tentera, RELA, serta bomba.
#Gareth David Huntley #mayat #Pulau Tioman
;