Mayat dua kanak-kanak perempuan ditemui berpelukan dalam kebakaran
Astro Awani
Oktober 23, 2015 00:45 MYT
Oktober 23, 2015 00:45 MYT
Dua beradik perempuan ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Tanjung Minyak, Melaka, petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-jkira 5.30 petang itu, mayat Nur Maisarah Balqis Rosghazali, tujuh dan adiknya Nur Qalisha Balqis, enam ditemui rentung pada pukul 5.55 petang oleh anggota bomba di bawah katil.
Penolong Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka, Mohd Adli Abd Rahman berkata bapa mangsa Rosghazali Shapie berusia 40-an pula diselamatkan orang awam selepas pengsan akibat terhidu asap tebal ketika cuba menyelamatkan kedua-dua anaknya itu.
Menurutnya, 18 anggota bomba bersama beberapa jentera bomba digerakkan ke tempat kebakaran sebaik menerima laporan pada kira-kira jam 5.38 petang.
"Kami telah menerima panggilan pada jam 5.38 petang dan mendapati berlaku kebakaran. Seramai 18 anggota dan ambulan Jabatan Bomba dan Penyelamat terlibat. Sampai saja ke tempat kejadian kita dapati terdapat seorang mangsa lelaki melecur dan dapat dikeluarkan.
"Ketika membuat operasi menyelamat, kami mendapati terdapat dua orang mangsa lagi iaitu kanak-kanak berumur enam dan tujuh tahun yang rentung di dalam bilik," kata Mohd Adli.
Bomba dapat mengawal api daripada merebak pada pukul 6.20 petang dan siasatan awal mendapati api dipercayai berpunca dari bilik tengah rumah berkenaan sebelum merebak dan memusnahkan hampir 70 peratus kediaman itu.
Beliau berkata, ketika kejadian bapa mangsa berada di luar rumah manakala ibu mereka bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi.
Katanya, mayat adik-beradik itu dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat manakala bapa mereka menerima rawatan di hospital sama.