Mayat dua kanak-kanak lemas di Sungai Skudai dijumpai

Astro Awani
Februari 28, 2021 08:51 MYT
Mayat mangsa pertama ditemukan sekitar 14 meter dari Pusat Kawalan Operasi Bomba. -Gambar hiasan/pexels
DUA kanak-kanak yang hilang di Sungai Skudai berdekatan Kampung Batu 8, Johor Bahru yang dipercayai terjatuh, dijumpai lemas, pada malam Sabtu.
Memetik portal Berita Harian, mayat mangsa pertama ditemukan sekitar 14 meter dari Pusat Kawalan Operasi Bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan teknik 'skin dive' di lokasi mangsa jatuh dan mayat pertama dijumpai pada jam 8.58 malam tadi.
"Mangsa pertama dikenal pasti sebagai Ahmad Daniel Abdullah, 9 tahun.
"Identiti mangsa dikenal pasti ayah tiri mangsa, Mohd Hamdan Baharuddin, 36 tahun.
"Sementara, mangsa kedua iaitu kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh tahun ditemui pada jam 12.10 malam, tujuh meter dari pusat kawalan operasi bomba. Identitinya belum dikenal pasti," katanya.
Mohd Suhaimi berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan lanjut.
Operasi itu disertai 10 anggota dari BBP Larkin bersama lima anggota unit PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
#PDRM #lemas #Mohd Suhaimi Abdul Jamal #kanak-kanak hilang #Sungai Skudai #Kampung Batu 8 #PPDA #Ahmad Daniel Abdullah #Mohd Hamdan Baharuddin
;