Mayat dua beranak mangsa pengeboman Bangkok disempurnakan
Astro Awani
Ogos 21, 2015 16:39 MYT
Ogos 21, 2015 16:39 MYT
Jasad dua beranak mangsa letupan bom di Bangkok, Thailand sempurna dibakar di Pusat Krematorium Berapit, Bukit Mertajam pada Jumaat.
Jasad Lee Tze Siang, 33, dan Lee Jing Juan, 4, yang dibawa dari kediaman mereka di Taman Cengal, di Butterworth tiba di pusat itu pada jam 12.20 tengahari .
Mayat kedua-duanya dibakar selepas ahli keluarga termasuk anak sulung mendiang, Lee Jian Hen, 6, melakukan upacara sembahyang dan abu mayat dua beranak itu disimpan di pusat tersebut.
Jian Hien yang kehilangan ayah dan adiknya dalam tragedi letupan di daerah Ratchaprasong itu kelihatan tenang sepanjang upacara berlangsung.
Sementara itu isteri mendiang Tze Siang, Neoh Yee Ling, 33 yang hamil enam bulan kelihatan sedih dan menangis sepanjang upacara sembahyang dijalankan di rumah mereka di Taman Cengal.
Yee Ling yang mengalami kecederaan di telinga dalam kejadian letupan itu tidak hadir di Pusat Krematorium Berapit.
Kedua dua mengsa adalah antara tujuh sekeluarga rakyat Malaysia yang bercuti di Bangkok Sabtu lalu ketika kejadian berlaku.
Selain Tze Siang dan Jing Xuan, turut terkorban dalam insiden berkenaan ialah ibu Yee Ling, Lee Siew Gaik, 49, adik lelakinya Neoh Jai Jun, 20, serta ibu saudaranya Lim Su See, 52.
Jasad Siew Gaik dan Jai Jun ditempatkan di rumah mereka di Taman Dedap manakala jasad Su See ditempatkan di rumah ibunya juga di taman yang sama, mereka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Sungai Lembu pada Ahad.
Dalam kejadian letupan bom di persimpangan Ratchaprasong berdekatan Kuil Erawan dan pusat membeli-belah di Bangkok pada Isnin lalu, lima rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera.
Mereka antara 20 orang maut dan 123 yang cedera akibat letupan, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas.